Sunday, July 19, 2009

Kematian Teoh : Lebih 3,000 berhimpun tuntut keadilan

Harakahdaily
Mon | Jul 20, 09 | 9:28:07 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Lebih 3,000 orang membanjiri Stadium Kelana petang semalam menuntut keadilan atas kematian Teoh Beng Hock Khamis lalu, selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di Selangor.

Pemimpin utama Pakatan Rakyat, termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, AJK PAS pusat, Dato' Husam Musa, berucap kepada hadirin, menurut Malaysiakini.

Poster dan kain rentang dipasang di sekitar kawasan stadium tersebut, yang memaparkan gambar Teoh, dengan tulisan 'Keadilan untuk Beng Hock"

Dalam ucapannya, Kit Siang mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh iaitu setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hean Wah.

Beliau juga mahu kabinet membuat keputusan segera mengenainya dan menggesa ketua pesuruhjaya SPRM, Dato' Ahmad Said Hamdan supaya meletak jawatan.

Perhimpunan tersebut bermula jam 4.30 petang dan berakhir pada kira-kira jam 7 malam.

Kematian Teoh yang dipercayai jatuh dari bangunan pejabat SPRM Selangor di Shah Alam, telah menimbul kemarahan penyokong pembangkang yang mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasatkan kejadian tersebut. - azm _

No comments:

Post a Comment