Sunday, July 19, 2009

SPRM calarkan imej Najib

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
Sun | Jul 19, 09 | 10:22:27 am MYT

Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak cuba untuk memulakan langkah 100 harinya sebagai Perdana Menteri dengan mengemukakan apa yang disifatkan sebagai insentif dan faedah kepada rakyat Malaysia.

Insentif ini dikemukakan dengan tujuan untuk menyakinkan rakyat bahawa beliau adalah PM yang lebih baik daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang 'dipaksa' melepaskan jawatan akibat prestasi buruk Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008.

Sebaik mengangkat sumpah, Najib memperkenalkan KPI (Key Performance Index atau Petunjuk Prestasi Utama) bagi mengukur dan menilai prestasi setiap Menteri diikuti dengan penilaian prestasi Kementerian, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya.

KPI ini pada aspek pengurusan, merupakan satu usaha yang baik ke arah mempertingkat ketulusan, kesungguhan dan keberkesanan seseorang Menteri atau agensi yang berkaitan.

Kononnya jika KPI dapat dilaksanakan sebaiknya, tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan BN dapat dipertingkatkan.

Seterusnya Najib memperkenalkan konsep One Malaysia, khusus untuk menarik sokongan rakyat bukan Melayu yang semakin terhakis keyakinan mereka terhadap kepimpinan Umno-BN sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat Pusat.

Kemudian Najib menyusuli langkahnya dengan membuat 11 pengumuman mesra rakyat yang dibuat bersempena genap 100 hari beliau menjadi PM, 12 Julai lepas.

Najib juga turut mengumumkan enam bidang keberhasilan utama nasional (KRA) untuk mencapai matlamat KPI dengan lebih berkesan.

Keenam-enam bidang itu ialah, mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Malangnya, semua usaha yang dilakukan Najib dengan tujuan untuk memurnikan persepsi rakyat terhadap kepimpinan barunya, tercalar dan dipertikaikan rakyat akibat kematian Teoh Beng Hock semasa dalam siasatan di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh merupakan Setiausaha Politik Exco Negeri Selangor dari DAP, Ean Yong Hian Wah, disoal siasat SPRM berhubung dengan dakwaan salahguna peruntukan Dewan Undangan Negeri.

Kematian Teoh membuka persoalan yang sangat besar, bukan sahaja kematiannya menjadi suatu misteri yang harus disiasat dengan seadil-adilnya.

Malah, ianya membuka mata rakyat terhadap SPRM, yang sejak keujudannya gagal menampilkan imej sebagai sebuah badan professional, telus dan terkecuali daripada pengaruh pemimpin kerajaan Umno-BN.

Tindakan SPRM menyiasat dakwaan salahguna peruntukan Dun oleh Adun Pakatan Rakyat di Selangor merupakan satu tindakan yang bermotif politik untuk memburukkan imej kerajaan negeri dan parti komponen Pakatan Rakyat.

Sebaliknya SPRM langsung tidak memperdulikan, malah tidak langsung mengambil tindakan ke atas aduan rasuah yang dibuat terhadap ramai ahli politik Umno-Barisan Nasional terutamanya Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor dan yang terlibat dalam skandal PKFZ.

SPRM menunjukkan bahawa ia berperanan dan berfungsi sebagai alat Umno-BN untuk mencabuli kebebasan individu, autonomi rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka dan konsep Federalisme yang kesemuanya termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

SPRM hanya membuktikan bahawa semua langkahnya bermotifkan politik, dengan tujuan untuk melindungi parti perasuah yang terbesar dalam negara iaitu Umno yang terkumpul di dalamnya penjenayah rasuah politik wang.

Imej Najib sudah tercalar dengan buruk, langkah 100 harinya begitu sumbang dan tersasar. Belum lagi KPI terlaksana, sudah wujud tanda-tanda kerapuhan kerajaan Umno-BN.

Usaha untuk memalitkan imej negatif terhadap Pakatan Rakyat akan terus gagal kerana Najib, Menteri-menteri, agensi kerajaan, Umno dan BN terus melakukan kesilapan yang semakin menjerumuskan mereka ke lembah kehancuran.

SPRM tidak dipercayai, tubuh Suruhanjaya Diraja segera - Husam Musa

Muhammad Arif Ismail
Mon | Jul 20, 09 | 10:30:03 am MYT

KELANA JAYA, 20 Julai (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Paduka Husam Musa menegaskan bahawa Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan dengan segera kerana institusi lain seperti polis dan SPRM sudah lagi tidak boleh dipercayai.

Beliau yang tidak bersetuju dengan pihak polis sendiri yang menyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu berhubung dengan kematian pembantu exco kerajaan negeri selangor, Teo Beng Hock baru-baru ini ketika dalam tahanan siasatan SPRM.

"Kita tidak bersetuju polis menyiasat SPRM keranan sendiri buat salah dan sendiri siasat, sampai bila kita tidak akan jumpa jalan penyelesaiannya, polis dan SPRM adalah sama sahaja," tegas beliau.

Tambah beliau, pihak polis dan SPRM adalah sama sahaja bahkan polis kadang kala lebih buruk dari SPRM dan SPRM lebih buruk dari polis.

Beliau memberi contoh kes Kugan yang mati dalam tahanan polis sehingga sekarang tiada sebarang pembelaan.

"Apa jaminan polis siasat SPRM, mereka akan dakwa pembunuh Teo Beng Hock, tidak ada jaminan sama sekali.

"Kita tidak boleh mempercayai sesiapa sahaja, tidak kira polis, ketua hakim, SPRM hatta Perdana Menteri itu sendiri. Kami tidak menaruh kepercayaan kepada pihak-pihak ini.

"Kerana itu, kita minta satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dengan segera supaya kita boleh menyiasat keseluruhan episod ini," katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan anak muda ini sebagai hero Pakatan Rakyat kerana menyekat niat jahat BN mahu merampas Selangor dan usaha yang dilakukan oleh teo patut dihargai.

"Kita mesti memperjuangkan keadilan kepada hero kita ini dan keadilan yang kita tuntut ialah dalam masa sekarang ini," katanya sambil menyifatkan kematian Teo Beng Hock dan keluarganya adalah hero Pakatan Rakyat.

Katanya, dengan berlaku kematian Teo, usaha Barisan Nasional (BN) untuk menjatuh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor seperti yang pernah dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan Perak menemui jalan kegagalan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Himpuanan Soldariti 'Keadilan Untuk Teo Beng Hock' yang diadakan di Stadium Kelana Jaya dekat sini semalam yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Hadir sama dalam Himpunan Solidariti itu ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan semua Adun dan ahli exco kerajaan negeri Selangor.

Lebih 3,000 orang hadir memeriahkan solidariti ini dan diakhir perhimpuanan ini, ada pengunjung betindak membakar akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Tindakan ini berhubungan dengan kenyataan dalam akhbar tersebut mengenai kematian Teoh adalah berkenaan dengan isu perkauman.

Berkaitan dengan isu ini, Husam berkata, menurut Pengerusi SPRM, Ahmad Said Hamdan patut sedar bahawa isu kematian pembantu exco adalah bukan isu perkauman.

"Dia harus tahu bahawa Beng Hock adalah sama nilai nyawanya dengan nyawa orang melayu. Pedulikan melayu, cina dan india.

"Kita adalah anak bangsa Malaysia. Apabila salah seorang dibunuh kita wajib menuntut bela di sisi agama Islam," katanya sambil diiringi dengan tepukan yang gemuruh dari hadirin. - azm

SPRM mahu rampas kerajaan negeri Selangor?

SPRM mahu rampas kerajaan negeri Selangor?
Pimpinan Pakatan Rakyat
Sat | Jul 18, 09 | 6:39:25 am MYT

MAJLIS Pimpinan Pakatan Rakyat menyatakan rasa dukacita yang amat mendalam di atas kematian mendiang Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Selangor.

Mewakili seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, pihak Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Sebelum ini telah terdapat banyak kematian yang berlaku dalam tahanan pihak berkuasa seperti Allahyarham Rumie Azzan Mahlie dan mendiang Ananthan Kugan.

Kematian mendiang Teoh Beng Hock merupakan kemuncak kepada penyalahgunaan kuasa pihak berwajib dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

Sehingga kini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara berterusan menjalankan siasatan dan membuat ancaman ke atas para pemimpin Pakatan Rakyat, sedangkan laporan demi laporan mengenai penyalahgunaan kuasa para pemimpin Barisan Nasional tidak diendahkan.

Ini adalah bukti kukuh bahawa suruhanjaya yang baru beroperasi selama enam bulan itu hanyalah dijadikan alat oleh Barisan Nasional dan Umno untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Jawapan tegas

Rakyat menuntut jawapan yang lebih tegas dari SPRM dan Perdana Menteri yang menjadikan SPRM sebagai kuda tunggangan Umno, dalam tindakan untuk merampas kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Badan seperti SPRM seharusnya bertindak profesional dan menyelamatkan integriti mereka dengan mengambil tindakan ke atas laporan terhadap para pimpinan Barisan Nasional yang telah diketahui umum terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

SPRM juga seharusnya memberhentikan teknik mendera dalam soal siasat mereka.

Dalam kes Mendiang Teoh, SPRM perlu mengenal pasti pegawai terlibat seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan.

Kami percaya bahawa rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap SPRM dan institusi lain yang dtubuhkan oleh kerajaan.

Pakatan Rakyat akan terus menerus menentang kezaliman dan salahguna kuasa institusi ini dengan mengadakan kempen di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mendesak dan bertegas agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat kematian mendiang Teoh Beng Hock dan meneliti teknik dan kaedah siasatan SPRM selama ini. (17 Julai)

Kenyataan media ini dikeluarkan oleh:

Dato' Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum KeADILan

Dato' Seri Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen DAP

Kecam tindakan wartawan menceroboh, cubaan murtad

Azamin Amin
Mon | Jul 20, 09 | 10:04:07 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Sungguhpun percubaan memurtad orang Islam adalah menyalahi Artikel 11(4) Perelembangaan Persekutuan namun tindakan dua wartawan menceroboh gereja untuk menyiasat perkara tersebut dikecam dan tidak boleh diterima sama sekali.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru Zulkifli Nordin berkata Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menceroboh hak peribadi dan rumah ibadat penganut agama lain malah ketika perang Nabi Muhammad s.a.w sendiri melarang tentera Islam daripada memasuki dan menganggu rumah ibadat agama lain.

Beliau mengulas tindakan sebuah majalah terbitan bulan Mei 2009, yang membuat 'berita siasatan' berhubung tindakan murtad remaja Islam di sebuah gereja.

"Jika benar ada percubaan untuk murtadkan remaja Islam kepada Kristian, jalan terbaik adalah menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," katanya dalam satu kenyataan di dalam blog peribadinya.

Sungguhpun begitu, beliau juga berkongsi keprihatinan sebilangan masyarakat Islam yang kecewa dengan kelemahan pihak berkuasa mengambil tindakan di atas aduan yang diterima seperti yang berlaku dalam kes Azlina Binti Jailani @ Lina Joy yang telah menukar agama kepada Kristian di sebuah gereja.

Zulkifli turut menasihati agar rakan-rakan bukan Islam menjaga sensitiviti perasaan umat Islam.

"Bila berlaku kes Lina Joy, sekumpulan bukan Islam mahu menggunakan kalimah Allah, kumpulan NGO Islam dan Majlis Peguam bertindak menjadi juara menyokong hak untuk murtad...ketika itu anda akan melihat tindak balas daripada orang Islam

"Kita sepatutnya berbangga sebab hidup dalam suasana harmoni lebih setengah abad kerana menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain. Tetapi bila anda menggugat agama lain, anda mengundang masalah," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan oleh dua wartawan itu 'tidak islamik' malah menggesa agar mereka meminta maaf kepada rakan-rakan penganut Kristian atas perbuatan mereka di samping menyeru agar pengarang majalah terbabit meletakkan jawatan. - azm _

Kematian Teoh : Lebih 3,000 berhimpun tuntut keadilan

Harakahdaily
Mon | Jul 20, 09 | 9:28:07 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Lebih 3,000 orang membanjiri Stadium Kelana petang semalam menuntut keadilan atas kematian Teoh Beng Hock Khamis lalu, selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di Selangor.

Pemimpin utama Pakatan Rakyat, termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, AJK PAS pusat, Dato' Husam Musa, berucap kepada hadirin, menurut Malaysiakini.

Poster dan kain rentang dipasang di sekitar kawasan stadium tersebut, yang memaparkan gambar Teoh, dengan tulisan 'Keadilan untuk Beng Hock"

Dalam ucapannya, Kit Siang mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh iaitu setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hean Wah.

Beliau juga mahu kabinet membuat keputusan segera mengenainya dan menggesa ketua pesuruhjaya SPRM, Dato' Ahmad Said Hamdan supaya meletak jawatan.

Perhimpunan tersebut bermula jam 4.30 petang dan berakhir pada kira-kira jam 7 malam.

Kematian Teoh yang dipercayai jatuh dari bangunan pejabat SPRM Selangor di Shah Alam, telah menimbul kemarahan penyokong pembangkang yang mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasatkan kejadian tersebut. - azm _

Tiada syarat untuk Chua Jui Meng sertai Pakatan Rakyat - Anwar

Sun | Jul 19, 09 | 12:01:42 pm MYT

BANDAR SUNWAY, 19 Julai (Hrkh) - Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) yang juga merupakan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada syarat yang ditawarkan untuk Dr Chua Jui Meng menyertai Pakatan Rakyat dan KeADILan.

"Perkara ini sangat penting untuk disahkan bahawa tiada tawaran yang dibuat kepada beliau untuk menyertai parti Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan kemasukan bekas naib Presiden MCA dalam satu forum yang diadakan di Hotel Sunway Resort dekat sini semalam.

Forum yang bertajuk 'Truth Behind Scandals' telah dianjurkan oleh parti KeADILan telah dihadiri oleh semua pemimpin tertinggi KeADILan.

Katanya "kita lihat beberapa kenyataan beliau, saya ucapkan terima ksih kerana menerima Pakatan Rakyat walaupun tanpa sebarang syarat ditawarkan".

"Oleh itu, tidak berbangkit soal Chua akan diberikan kerusi tertentu sebagai satu syarat untuk beliau menyertai Pakatan Rakyat," jelas beliau.

Dalam sidang media yang sama, beliau ditanya adakah parti itu akan tawarkan satu jawatan dalam KeADILan kepada bekas menteri kesihatan itu.

katanya, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik dan majlis tertinggi parti sebelum mendapat kata putus dari Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail. - mns_

Wednesday, June 10, 2009